Perubahan
pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan
menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan.
Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah
mempunyai cita-cita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya.
Mereka sepatutnya memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana
pemimpin-pemimpin terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun
terdapat pertukaran pemimpin, tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar
daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat. Dengan
adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa tidak
akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa
dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan
pemerintah serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama
lain daripada melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak
mendapat keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang
harus menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh
membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk
membolehkan mereka hidup aman damai. Walaupun pada dasarnya,
perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh dilakukan dengan
sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan dalam
mana-mana negara, ia mestilah berdasarkan perlembagaan juga. Jika
pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak
pemimpin-pemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan
kucar-kacir di mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan
mengabaikan kemahuan rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya
perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara.
Perlembagaan
merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi. Tanpa
perlembagaan tidak akan dapat membina negara yang aman. Ia juga dapat
memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dan rakyat. Jika
rakyat tidak bersatu maka negara akan tidak utuh manakala negara yang
kuat akan mudah merampas negara yang tidak utuh. Jadi dengan adanya
perlembagaan negara, rakyat dapat berpegang kepada satu undang-undang
yang diramalkan dan dihormati untuk memastikan kewujudan sesebuah negara
berdaulat.
No comments:
Post a Comment