Setiap
perlembagaan bertulis mengalami perubahan atau boleh dipinda dari
semasa ke semasa. Pindaan perlembagaan dibuat kerana sikap, fahaman dan
kehendak rakyat telah berubah. Kadangkala keputusan mahkamah juga
menyebabkan perlembagaan dipinda. Sejak Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu digubal, ianya telah mengalami beberapa perubahan dan pindaan.
Namun begitu, pindaan dan perubahan yang dibuat itu, sehingga kini masih
kekal dengan sifat dalam lingkungan rangka perlembagaan asal yang telah
diwujudkan itu. Perubahan dan pindaan yang dilakukan dalam perlembagaan
itu adalah berdasarkan kepada beberapa perubahan yang berlaku di negara
kita. Ini merupakan suatu perkara yang biasa, lebih-lebih lagi apabila
terdapat sesuatu perkara dalam perlembagaan yang dirasakan tidak begitu
sesuai lagi. Contohnya, apabila Persekutuan Tanah Melayu bertukar
menjadi Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, Perlembagaan telah
dipinda supaya dapat disesuaikan sesuatu undang-undang itu dengan konsep
malaysia. Satu lagi peristiwa yang membawa kepada pindaan perlembagaan
ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969. Ianya berkaitan dengan soal
kebebasan hak asasi serta kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan.
Kebebasan asasi untuk bercakap, berhimpunan dan menubuhkan persatuan
sewenang-wenangnya tanpa kawalan mencetuskan perkara yang tidak
diingini. Di kalangan orang bukan Melayu misalnya, telah dengan
lantangnya mempersoalkan kedududkan raja-raja, hak keistimewaan orang
Melayu dan bahasa Kebangsaan. Akibat daripada tercetusnya peristiwa
berdarah 13 Mei 1969 itu, Parlimen pada tahun 1967 telah meluluskan akta
meminda Perkara 10 Perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan bersuara,
berhimpun dan berpersatuan. Perlembagaan Malaysia juga sentiasa dikaji
dari semasa ke semasa. Jika perlu ianya akan dipinda dan diubah mengikut
kehendak pemimpin dan kerajaan yang memerintah. Kali terakhir berlaku
pindaan Perlembagaan ialah semasa Dewan Rakyat bersidang pada bulan Ogos
1983 yang lalu. Dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai 1983,
Dewan telah meluluskan beberapa rang undang-undang yang kemudian
diluluskan oleh Dewan Negara .
Di Malaysia, pindaan Perlembagaan adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat dan menjaga keselamatan negara. Pindaan ini bertujuan untuk melicinkan urusan pentadbiran negara supaya sentiasa relevan dan sesuai. Perlembagaan dipinda bagi mengelakkan perkara sensitif dipersoalkan secara terbuka.Contoh pindaan Akta Hasutan 1970 yang telah diluluskan oleh Parlimen.